SANDAKAN : Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini akibat memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol di dua lokasi berbeza dalam daerah Sandakan.
Seorang tertuduh lelaki berumur 24 tahun mengaku bersalah di hadapan Majistret, Nur Faezah Jafry dijatuhi hukuman denda sebanyak RM10,000, satu hari penjara dan lesen memandu digantung selama dua tahun.
Tertuduh gagal membayar denda dan dijatuhkan hukuman lima bulan penjara.
Manakala seorang lagi tertuduh lelaki berumur 33 tahun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan telah diberi ikat jamin sebanyak RM1,400 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Insp Rodi Anak Wong.