Dr Zaliha meriahkan sambutan Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Labuan 2024

LABUAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa hadir memeriahkan Semarak Aidilfitri peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, dekat sini, pada Jumaat lepas.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Indera Noridah Abd. Rahim, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd. Ismail.

Majlis yang turut dihadiri lebih 1,000 warga Labuan yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, kakitangan kerajaan dan swasta itu dimeriahkan lagi dengan penyampaian sumbangan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 500 golongan asnaf yang hadir.

MAIWP memperuntukan wang zakat sebanyak RM200,000 untuk diagihkan kepada 1,000 golongan asnaf sempena majlis itu.

Terdahulu, Dr Zaliha berkata, penganjuran Semarak Aidilfitri peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelbagai lapisan masyarakat, tetapi juga memperlihatkan hubungan perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum yang terus terpelihara.