DPUB laksana 4 projek bantu tingkatkan ekonomi luar bandar

KOTA KINABALU: Pelaksanaan empat projek melibatkan Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) dijangka mampu meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan luar bandar di negeri ini.

Pegawai Tadbir Sekretariat DPUB Sabah Syed Yusof Syed Kechik berkata, program ini dijangka akan membantu meningkatkan kesejahteraan serta sosioekonomi golongan B40 bumiputera khususnya di Wilayah Sabah.

Katanya, antara projek tersebut merangkumi Pepper Scale – Up Project di Kampung Lompios, Kota Belud dan Kampung Puhus, Tamparuli, selain program Belacan Scale – Up Project di Kampung Laut, Papar.


“Selain itu projek itu juga merangkumi Tiram Scale – Up Project di Kampung Lentuong, Tuaran dan Kampung Penimbawan, Tuaran dan Ambatu Kelarai Scale – Up Project di Kampung Tinura, Ulu Tomani, Kemabong, Tenom.

“Program ini akan melibatk enam kawasan termasuk Tenom, Tuaran, Kota Belud, Tamparuli dan Papar mampu melonjakkan ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya.

Syed Yusuf  berkata, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui USAINS INFOTECH SDN. BHD diberi mandat oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi melaksanakan Program Innovation for Community (INNO4C) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sabah.

“Program ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) dan Third Rolling Plan (RP3) bertujuan untuk memperkukuhkan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

USM berkolaborasi dengan Yayasan Sabah (YS) serta beberapa agensi kerajaan lain termasuk Lembaga Lada Malaysia (MPB), Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Perikanan Sabah (DOF Sabah).

Dalam masa yang sama, USM masih dalam proses mengembangkan lagi kolaborasi dengan beberapa agensi yang lain bagi mengenalpasti potensi perkembangannya di masa depan.