Derita Sejak Lahir Bukan Halangan, Pelajar Cemerlang Jejak Menara Gading

KOTA KINABALU – Kisah ketabahan seorang pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilahirkan dengan masalah kesihatan sejak lahir mencuri perhatian.

Ini apabila menjadikan pengorbanan ibu bapa serta jasa doktor sebagai inspirasi untuk bergelar doktor.

Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Ikhwan Al Muntadzir Ahmad Muldjamil, 19, berkata, beliau dilahirkan dengan masalah kesihatan yang memerlukan pembedahan kolostomi sejurus selepas lahir dan menjalani rawatan berkala sejak kecil.

Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai kekangan, beliau tidak pernah patah semangat, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai motivasi untuk membantu menyelamatkan nyawa orang lain suatu hari nanti.

“Kalau bukan kerana usaha dan kepakaran doktor sejak saya lahir, mungkin saya tidak ada di sini hari ini. Sebab itu saya nekad untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan berkhidmat di hospital kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Lafaz Ikrar sempena Minggu Suai Mesra pelajar baharu sesi 2025/2026 di UMS.

Ikhwan berkata, semangatnya turut dipacu oleh sokongan tidak berbelah bahagi daripada kedua-dua ibu bapanya yang sanggup berulang-alik dari kampung ke Kota Kinabalu demi memastikan beliau mendapat rawatan yang terbaik sejak kecil.

Tambah beliau, walaupun melalui kehidupan yang berbeza daripada rakan sebaya, ia tidak pernah dijadikan alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus berjaya dalam bidang pilihan.

Beliau turut menghargai keprihatinan pihak UMS dalam menyediakan pelbagai kemudahan mesra pelajar berkeperluan khas, yang menurutnya sangat membantu golongan sepertinya untuk menyesuaikan diri di kampus.

“Keterbatasan fizikal bukan halangan untuk terus maju. Saya mahu membalas semula jasa yang pernah saya terima dahulu, bukan sahaja kepada doktor yang merawat saya, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.