KOTA KINABALU – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberi amaran akan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya gabungan itu meneruskan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, keputusan itu bakal ditentukan selepas mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dijadualkan berlangsung malam ini.
Menurutnya, beliau merasakan keputusan berhubung kerjasama dengan PH telah pun dibuat oleh pimpinan GRS.
“Pada pandangan saya, ketika saya bertemu dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) beberapa hari lalu, keputusan itu sudah dibuat. Maka, mesyuarat malam ini mungkin hanya sekadar pengesahan.
“Tetapi jika pada saat akhir beliau (Hajiji) berkata ‘baiklah, kita dengar suara rakyat, kita bertanding secara solo’, maka saya akan ikut serta,” katanya seperti dilaporkan The Star.
Sebelum ini, Jeffrey pernah menolak spekulasi bahawa STAR akan keluar GRS susulan klip video tular di TikTok yang mendakwa parti itu akan menarik diri sekiranya GRS bekerjasama dengan PH dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, selepas Hajiji mengumumkan GRS dan PH akan membentuk pakatan pilihan raya, STAR dilihat kembali meneliti pendiriannya.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beliau pada awalnya mencadangkan agar PH hanya bertanding di tujuh kerusi yang disandang mereka dengan menggunakan logo GRS.
Namun katanya, selepas Majlis Tertinggi GRS meluluskan 15 kerusi untuk PH, jumlah itu kini dikatakan meningkat kepada 21 hingga 23 kerusi.
“Paling banyak yang saya boleh setuju ialah jika mereka kekalkan tujuh kerusi. Tapi sekarang mereka mahu lebih dan tetap mahu guna logo sendiri, tidak seperti parti-parti dalam GRS lain yang bersetuju guna satu logo,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pendirian STAR adalah berdasarkan suara akar umbi yang rata-rata tidak bersetuju dengan kerjasama bersama PH.
“Jika GRS bertanding secara solo, saya akan turut serta. Jika tidak, saya tidak boleh menyertai kerana itu bertentangan dengan kehendak rakyat. Saya tidak boleh menentang mereka,” katanya.
