KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus memperketat kawalan di kawasan perairan dan daratan apabila berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi dalam dua operasi berasingan di Sandakan dan Semporna, malam kelmarin.
Dalam serbuan pertama sekitar jam 8 malam di kawasan Jalan Cecily, Sibuga, Sandakan, dua lelaki tempatan ditahan bersama sebuah lori tangki, kenderaan jenis Toyota Hilux serta dua skid tank yang dipercayai digunakan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi.
Sementara itu, di perairan berhampiran Pulau Omadal dan Tanjung Pantau-Pantau, Semporna, seorang lelaki warga asing diberkas ketika cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran.
Hasil keseluruhan rampasan daripada kedua-dua lokasi melibatkan sebanyak 5,400 liter minyak diesel dan 51 jerekin berisi petrol, dengan anggaran nilai mencecah RM482,672.25.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan minyak bersubsidi.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menyalahi undang-undang demi memastikan aset negara tidak terus disalahgunakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, kerjasama orang awam amat penting dan PPM sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan terutama di kawasan sempadan dan perairan negeri.
Kejayaan operasi ini sekali lagi membuktikan komitmen PPM dalam usaha berterusan membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
