Sabah Bimbang Penahanan Zizi Kirana, Sul Aidil Sertai Misi Kemanusiaan ke Gaza

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan dua anak negeri, penyanyi terkenal Zizi Kirana dan aktivis kemanusiaan Sul Aidil, yang terbabit dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan situasi berkenaan dan menyifatkan penglibatan mereka sebagai satu keberanian yang membanggakan rakyat Sabah dan Malaysia.

“Kerajaan negeri yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan mengambil langkah diplomatik terbaik bagi membantu pembebasan segera semua sukarelawan Malaysia yang ditahan.

“Doa kita mengiringi keselamatan dan pembebasan mereka yang berjuang atas nama kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, pengorbanan dan semangat kemanusiaan yang ditunjukkan dua anak Sabah itu harus dijadikan inspirasi, sekali gus membuktikan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib penduduk Gaza.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, untuk bersatu menunjukkan solidariti terhadap perjuangan kemanusiaan di Gaza.

Setakat jam 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas pihak berkuasa.

Mereka termasuk Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga, manakala Sul Aidil dilaporkan berada di atas kapal Alma.