KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya menegaskan dasar dan pelan pembangunan kerajaan negeri perlu dilaksanakan secara berkesan hingga ke peringkat akar umbi supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sambil menyatakan sokongan terhadap Pelan Pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurutnya, pelaksanaan dasar perlu lebih inklusif dan menyeluruh, khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat akibat ketidaktentuan geopolitik global.
Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan tapak niaga kekal serta intervensi segera bagi membantu usahawan kecil dan peniaga mikro terus berdaya saing.
Selain itu, beliau menekankan keperluan jaminan keselamatan makanan termasuk memastikan bekalan asas seperti beras dan ayam kekal stabil, di samping mencadangkan semakan semula kadar bantuan kebajikan agar selari dengan keadaan semasa.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan isu infrastruktur termasuk bekalan air yang tidak stabil di Putatan serta kesesakan lalu lintas yang semakin serius.
