KOTA KINABALU: Tiga lagi kluster diisytihar tamat hari ini iaitu dua kluster institusi pendidikan dan satu kluster komuniti menjadikan 26 kluster masih aktif di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata dua kluster pendidikan yang tamat hari ini ialah Kluster Jalan Taman Beringin di Kota Marudu dan Kluster Madai Dua di Kunak.
“Satu lagi kluster yang tamat adalah kluster komuniti iaitu Kluster Kampung Weston, Beaufort,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.
Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata hari ini, Sabah turut mencatatkan angka jangkitan di bawah paras 1,000 iaitu 796 kes apabila 15 daerah mencatatkan penurunan kes.
Beliau berkata kali terakhir Sabah mencatat kes di bawah paras 1,000 ialah pada 4 Feb lepas, namun peratusan jangkitan sporadik hari ini kekal tinggi iaitu hampir 65 peratus.
Masidi berkata sebanyak 779 atau 97.86 peratus daripada 796 kes baharu hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, tiga kes bagi kategori tiga, 10 kes kategori empat dan manakala kategori lima terdapat empat kes.
– BERNAMA