Bot fiber perkukuh operasi selamat mangsa banjir di Merotai

MEROTAI: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah menyerahkan sebuah bot fiber lengkap dengan enjin bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir di sekitar Merotai.

Ini susulan kejadian banjir yang mengorbankan nyawa di Kampung Sungai Udin baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah (PJKHRS) yang dipengerusikan oleh Sammi Liew Sam Yi.

Menurut Liew, kejadian banjir kali ini lebih serius berbanding kebiasaan apabila limpahan air bukan sahaja menjejaskan kawasan penempatan.

“Kejadian banjir ini sehingga melimpah ke jalan utama sehingga menyukarkan pergerakan serta operasi kecemasan,” katanya di sini semalam.

Bot berkenaan diserahkan kepada wakil Pasukan Sukarela Merotai, Mohamad Fakir.

Beliau berharap kemudahan tersebut dapat membantu pihak berkuasa dan pasukan sukarelawan melaksanakan tugas menyelamat dengan lebih pantas dan berkesan, khususnya ketika bencana banjir.