Tanpa UPSR, Sukar Nilai Jurang Pendidikan – ADUN Likas

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook  menyokong cadangan pelaksanaan semula Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan penambahbaikan, sambil menegaskan keperluan sistem penilaian yang mempunyai piawaian nasional dan data yang boleh dibandingkan secara objektif.

Beliau berkata, ketiadaan peperiksaan berpusat sejak pemansuhan UPSR telah menimbulkan cabaran dalam menilai tahap sebenar penguasaan kemahiran asas murid secara menyeluruh, khususnya antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Tanpa penanda aras nasional, kita berisiko membuat penilaian yang terlalu subjektif dan tidak seragam. UPSR berfungsi sebagai instrumen dasar untuk mengesan jurang pembelajaran, bukan sekadar menilai prestasi individu murid,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Tham, peperiksaan berpusat seperti UPSR membolehkan Kementerian Pendidikan merangka intervensi berasaskan data, termasuk penyaluran sumber, sokongan akademik serta latihan guru secara lebih bersasar, terutama di kawasan berpendapatan rendah dan negeri yang ketinggalan dari segi pencapaian pendidikan.

Beliau turut berpandangan bahawa keputusan UPSR membantu peralihan murid ke peringkat sekolah menengah secara lebih terancang, termasuk penempatan kelas, pengenalpastian awal murid berkeperluan khas serta pemilihan aliran yang bersesuaian dengan tahap kebolehan.

“Tanpa mekanisme penilaian awal yang tersusun, murid berdepan risiko ‘kejutan pembelajaran’ apabila memasuki sekolah menengah, yang akhirnya menyumbang kepada keciciran dan tekanan akademik,” katanya.

Bagaimanapun, Tham menegaskan bahawa pelaksanaan semula UPSR tidak seharusnya mengulangi pendekatan lama yang terlalu berorientasikan peperiksaan.

“UPSR perlu direka semula secara lebih seimbang, berperikemanusiaan dan digabungkan dengan pentaksiran berasaskan sekolah supaya penilaian akademik dan pembangunan sahsiah murid dapat berjalan seiring,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa cadangan peperiksaan seragam bagi murid Tahun Enam di seluruh Sabah merupakan antara manifesto Parti Warisan Sabah dalam pilihan raya negeri lalu, selaras dengan keperluan memastikan keadilan pendidikan antara wilayah.

Sehubungan itu, katanya, Warisan mengalu-alukan usaha kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pelaksanaan semula UPSR dan bersedia bekerjasama sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, selagi dasar yang diperkenalkan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya di Sabah.