Biro Wanita Gagasan Rakyat santuni penjaga pesakit Hospital Likas

KOTA KINABALU: Biro Kesihatan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) telah mengadakan program kemanusiaan “Jolly & Jingle Caregiver Initiative” di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, kelmarin.

Program tersebut diketuai oleh Pengerusi Biro Kesihatan merangkap Exco Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Dr Davina Datuk Markus Majihi dan dilancarkan oleh Pengarah Hospital Likas, Dr Marcus Netto.

Dr Davina ketika dalam program kemanusiaan “Jolly & Jingle Caregiver Initiative” di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, kelmarin.

Biro Kesihatan Gagasan Rakyat turut memberikan sumbangan berupa selimut, bantal leher, dan makanan khusus kepada  penjaga-penjaga yang setia menjaga pesakit tercinta mereka.

Berucap pada majlis itu, Davina berkata Ia bertujuan untuk menghargai dan memberi pengiktirafan komuniti kepada penjaga-penjaga yang telah lama bergelut dengan cabaran dalam perjalanan rawatan pesakit Kanser .

Katanya Inisiatif ini juga mencerminkan semangat kepedulian dan empati semasa musim perayaan, diharapkan sumbangan kecil ini dapat memberikan sedikit keceriaan dan semangat positif untuk mereka terus kuat dan tabah.

Justeru itu, beliau berkata peranan penjaga amatlah besar, malah mereka perlu terus kuat walaupun ada kalanya berdepan saat beremosi kerana melihat orang tersayang dalam kesakitan dan kesedihan.

“Kami menghargai pengorbanan dan ketabahan mereka. Mereka adalah hero sejati yang patut diberikan penghargaan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Perubatan I) Dr Christine Lu, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Adrian Allan, Matron Anita Abd Malek dan jururawat – jururawat yang memberikan sokongan menyeluruh dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang terbaik.