KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili bersuara demi rakyat Sabah apabila mendedahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) menggunakan ‘pengundi hantu’ untuk memenangi pilihan raya negeri.
Setiausaha Politiknya Jonnybone Kurum berkata, malangnya Dr. Maximus dilabel sebagai ‘gila’ dan tidak bersyukur kerana bersuara bagi pihak rakyat Sabah tentang ‘dosa’ lampau salah satu parti komponen BN.
Susulan pendedahan Dr. Maximus itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menuduhnya sebagai tidak berterima kasih, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan parti itu Datuk Seri Salleh Said Keruak melabel Dr. Maximus sebagai ‘gila’.
“Beliau (Dr. Maximus) hanya bercakap berdasarkan fakta yang tertulis dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kehadiran ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah. Bagi kita, tidak mengapa Dr. Maximus digelar ‘gila’ kerana bercakap bagi pihak rakyat,” kata Johnnybone.
Dr. Maximus membangkitkan isu itu dalam ucapannya semasa Kongres Perwakilan Tahunan ke-36 dan ke-37 yang baharu sahaja selesai.
“Presiden PBS mendedahkan dosa masa lalu BN dan pengkhianatannya terhadap perlembagaan dan hak. Ya, kita sebahagian daripada BN ketika itu, tetapi kita pernah menyuarakan pendirian dan membuat aduan, malah memberikan cadangan, tetapi semuanya tidak pernah diendahkan.
“Seperti yang ditegaskan oleh Presiden semasa kongres, sudah tiba masanya untuk membetulkan masa lalu dan menyelesaikan ancaman PATI di Sabah secara tegas,” tegas Jonnybone.
Beliau berkata, Bung dan Salleh tidak seharusnya terlalu beremosi dengan kenyataan Dr. Maximus, kerana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut mendedahkan dalam media sosial beliau bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamed merupakan dalang di belakang “Projek IC”, istilah yang biasa digunakan untuk menggambarkan pengeluaran dokumen pengenalan palsu kepada PATI di Sabah.
“Beliau (Najib) mengakui bahawa parti terbabit sememangnya UMNO, yang ketika itu diketuai oleh Tun Dr. Mahathir dan tindakan itu disokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu merupakan timbalan Dr. Mahathir. Kedua-dua pemimpin itu telah meninggalkan UMNO untuk mengetuai parti politik mereka sendiri.
“Apa sahaja yang diperkatakan oleh Presiden kita (Dr. Maximus) mengenai isu itu bukannya dibuat-buat. Semuanya berdasarkan fakta, dan kita mempunyai laporan RCI untuk menyokong kenyataan kita,” katanya.