KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membangunkan infrastruktur Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 Megawatt (MW) terbesar di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yaakob Jaafar berkata, infrastuktur baharu syarikat utiliti itu disasar menambah baik kecekapan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah dibangunkan di Lahad Datu.
Katanya, SESB menerima Letter of Notification (LoN) daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) bagi melaksanakan projek pertama seumpamanya di Sabah.
“Kepercayaan diberikan ECoS dan Kerajaan Negeri Sabah kepada SESB melaksanakan projek BESS ini akan digalas dengan penuh tanggungjawab sekali gus memastikan projek ini berjaya ditenagakan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Dengan keupayaan maksima kapasiti simpanan tenaga sebanyak 400MWj, projek ini bakal menjadi sistem BESS terbesar di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Yaakob berkata, projek itu kelak akan meningkatkan kapasiti rizab margin Grid Sabah pada masa puncak serta menyokong penambahan kapasiti sumber tenaga solar berskala besar (LSS).
“Pembinaan infrastuktur BESS itu bermula pada September tahun ini dan dijadualkan siap pada 30 Jun 2025,” jelas Mohd Yaakob.
Menurutnya, minggu lalu pihaknya mengadakan lawatan ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Dam Road, Lahad Datu bagi meninjau projek menaiktaraf PMU Jalan Dam Lahad Datu kepada voltan 275kV yang mana pencawang ini akan menjadi titik suntikan kepada BESS tersebut.
“Projek ini akan dapat meningkatkan kestabilan kapasiti penjanaan di Grid Sabah, disamping menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” kata Mohd Yaakob.
