30,000 pengunjung dijangja kunjungi Karnival Hari Malaysia di Labuan

LABUAN : LDA Holding menjangkakan lebih 30,000 pengunjung akan mengunjungi Karnival Hari Malaysia akan diadakan di padang Dataran Labuan bermula 13-16 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Halim Zaini berkata LDA Holding merupakan kordinator karnival bersama Perbadanan Labuan akan menganjurkan Karnival Hari Malaysia.

Katanya, program ini mendapat kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), JK Bal Sport serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAWI).

“Karnival empat hari itu melibatkan acara Pearl Borneo Run dikelolakan oleh JK Bal Sport, Kejohanan Bola Sepak Sembilan sebelah Terbuka Labuan bagi merebut Piala Perbadanan Labuan dan Pertandingan sepak penalti.

“Ceramah Agama Jemputan Ustad Da’sad Latif dikelolakan JAWI sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Labuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Halim berkata, bagi acara Pearl of Borneo Run yang melibatkan 870 peserta dalam dan luar negara akan dijalankan pada 15 September.

“Kejohanan Bola Sepak Sembilan sebelah Terbuka Labuan akan diadakan pada 13 hingga 15 September dan Pertandingan sepak penalti pula akan diadakan pada 16 September dari 04:00 petang hingga 10:00 malam.

“Selain itu turut menjadi tumpuan sepanjang karnival itu nanti ialah pesta makanan  dan pelbagai barangan jualan produk tempatan,” jelas Noor Halim.

Menurutnya, Karnival Sambutan Hari Malaysia ini merupakan  kesinambungan acara Sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat Labuan dan Hari Perpaduan.

“Ia mendapat Sambutan diluar jangkaan, malah program satu bumbung itu banyak menjimatkan kos penganjuran khususnya melibatkan penggunaan lokasi dan logistik.

“LDA Holding sentiasa memberi kerjasama dan bertindak sebagai kordinator acara acara utama di Labuan bagi mewujudkan konsep karnival yang lebih kondusif dan meriah,” kata Noor Halim.