KOTA KINABALU : Ketua Bahagian Gagasan Rakyat ( PGRS) Usukan, Datuk Japlin Akim bersedia dan tidak gentar untuk berdepan dengan sesiapa sahaja jika diberi mandat untuk mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan.
Katanya, beliau bersedia menggalas tanggungjawab itu walaupun berdepan dengan Datuk Seri Salleh Said daripada Barisan Nasional (BN).
“Insya-Allah jika diberi peluang jadi calon untuk kawasan Usukan (saya) bersedia. Kita sentiasa bekerja keras bersama rakyat… turun padang ke akar umbi bersama mereka.
“Sebenarnya, pada saya siapa yang kita bertembung bukan masalah dan cabaran utama. Cabaran (sebenar) bagaimana kita berusaha menyantuni rakyat di kawasan… memenangi hari mereka supaya mereka memberi sokongan kepada kita. Soal siapa kita bertembung itu bukan masalahnya,” katanya di sini semalam.
Japlin berkata, DUN Usukan boleh ditingkatkan dengan memperhebat sektor pertanian yang mampu membantu menjana pendapatan penduduk setempat.
Ditanya sama ada GRS perlu bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 ini, Japlin menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan.
Bagaimanapun beliau berpandangan, jika terpaksa, GRS cukup kuat untuk bergerak secara solo dan hanya akan mengumumkan kerjasama selepas keputusan pilihan raya.
“Saya tengok GRS dari segi penerimaan sudah diterima rakyat. Malah ahli keluarga dalam GRS ini besar ada lapan parti didalamnya. Kita yakin dan percaya setiap parti komponen mempunyai kelebihan tersendiri selain kita boleh gerak solo jika terpaksa,” katanya.