KOTA KINABALU : Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada mewujudkan kemudahan infrastruktur untuk meningkatkan tahap pembangunan rakyat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya, menjadi asas keperluan rakyat dan negeri, akan tetap diberikan keutamaan.
Katanya, kerajaan berusaha untuk menaik taraf kemudahan ini sekali gus bagi keselesaan rakyat khususnya di negeri ini.
“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap pegawai Kerajaan untuk memainkan peranan memastikan sistem budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan prinsip rakyat sebagai pelanggan utama dalam sektor awam.
“Dalam zaman yang serba moden dan canggih ini, penyampaian perkhidmatan bukan sahaja perlu pantas tetapi juga harus bersifat responsif, tepat dan inklusif. Perkhidmatan awam yang cekap, itulah yang diinginkan rakyat dan pada masa sama, menjadi asas kepada kejayaan pembangunan negeri,” katanya di sini semalam.
Majlis tersebut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.
Hajiji berkata beliau mahu semua anggota perkhidmatan awam agar sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas serta jujur, berdedikasi dan berintegriti.
“Kepercayaan diberikan rakyat kepada Kerajaan Negeri hendaklah digalas dengan sepenuh hati dan dilaksanakan dengan penuh kesempurnaan.
“Matlamat utama kita ialah memastikan negeri ditadbir urus dengan cekap demi
menjayakan proses pembangunan yang lancar sebagaimana yang dikehendaki dan diharapkan oleh kita semua,” jelas Hajiji.