Konflik Iran-Israel: Golongan Usahawan Perlu Bersiap Sedia – Nordin

KOTA KINABALU : Ketegangan berterusan antara Iran dan Israel yang kini berisiko meletus menjadi konflik berskala besar mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggerak industri dan penganalisis ekonomi.

Yang Dipertua Asean Chamber of Commerce & Industry (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening berkata, perkembangan ini boleh memberi kesan rantaian kepada kestabilan ekonomi global dan menjejaskan perniagaan tempatan yang terlibat dengan pasaran antarabangsa.

“Konflik ini bukan sekadar isu politik luar. Ia turut memberi kesan langsung kepada harga minyak dunia, kadar pertukaran mata wang, rantaian bekalan dan kos penghantaran global.

“Usahawan Malaysia, khususnya di Sabah yang bergantung kepada import dan eksport, harus lebih bersedia,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan tersebut.

Nordin berkata, beliau menyarankan agar usahawan mula menilai semula strategi mereka termasuk aspek pengurusan risiko geopolitik, diversifikasi pasaran dan membina daya tahan perniagaan terhadap sebarang ketidaktentuan global.

“Usahawan yang bijak tidak hanya bergantung kepada satu sumber pasaran atau laluan perdagangan. Dalam dunia yang semakin tidak menentu ini.

“Kita perlu ada pelan kontingensi dan alternatif, termasuk memperkukuh pasaran serantau seperti ASEAN,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan juga disaran memainkan peranan lebih aktif dengan menyalurkan maklumat semasa, sokongan kewangan dan bantuan teknikal kepada pemain industri yang mungkin terkesan secara langsung.

“Kita perlukan mekanisme tindak balas ekonomi terhadap konflik luar negara.

“Satu rangka kerja menyeluruh harus diwujudkan agar ekonomi negara dapat terus bertahan jika berlaku sebarang kejutan luar jangka,” katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama ekonomi antara negara-negara ASEAN agar rantau ini tidak terlalu terdedah kepada pergolakan di Timur Tengah atau kuasa-kuasa besar dunia.

“Kita tidak boleh bergerak sendiri dalam menghadapi cabaran global seperti ini. ASEAN perlu bertindak sebagai blok ekonomi yang bersatu dan saling membantu,” katanya.

Tambah beliau, ancaman ini juga wajar dilihat sebagai peluang untuk mempercepat agenda pemerkasaan ekonomi domestik dan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran luar.

“Krisis seringkali mencipta ruang untuk pembaharuan. Usahawan perlu berani berubah dan mengambil langkah ke hadapan agar perniagaan mereka terus bertahan dalam apa jua keadaan,” tambahnya.