Bertanding Secara Solo Langkah Wajar Untuk GRS – Joniston

KIULU : Kerajaan negeri yang diterajui oleh parti-parti tempatan bukanlah penghalang kepada hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, seperti negeri Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu satu gabungan parti-parti tempatan terus mengekalkan hubungan mesra dan membina dengan kerajaan Persekutuan walaupun mentadbir negeri secara berdikari.

Beliau berkata, model itu membuktikan GRS bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri yang akan datang adalah satu langkah yang wajar dan berprinsip.

“Malah ketika ini, dengan GRS menerajui kerajaan negeri, hubungan kerja dengan pentadbiran Persekutuan membuahkan hasil.

“Jadi, tidak sepatutnya timbul sebarang isu sekiranya GRS memilih untuk bertanding secara solo. Langkah ini sejajar dengan aspirasi rakyat, iaitu melihat Sabah diterajui oleh gabungan tempatan yang berakar umbi, sambil mengekalkan hubungan harmoni dengan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini hari ini.

Menurutnya, GRS boleh dan harus mencontohi pendekatan GPS yang mentadbir secara bebas sambil mengekalkan kerjasama Persekutuan yang stabil dan matang.

“Kita boleh melihat kepada Sarawak. Walaupun Pakatan Harapan (PH) adalah pembangkang di sana, dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang pengaruh, GPS tetap bekerjasama secara konstruktif dengan Putrajaya sebagai sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

“Perdana Menteri dan Premier Sarawak sering bertemu. Ini menunjukkan kebebasan politik di peringkat negeri bukanlah penghalang, malah satu kekuatan,” jelasnya.

Beliau berkata, GRS kini sedang memperkukuh kedudukan menjelang pilihan raya negeri yang akan datang, susulan perkembangan politik terbaru melibatkan kerjasama antara PH dan BN di Sabah.

Sebelum ini, Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyatakan kemungkinan GRS bertanding secara solo selepas PH dan BN mengumumkan rancangan mereka untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri Sabah.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya menggesa agar PH, BN dan GRS bekerjasama demi kestabilan politik dan kemajuan negara.