KOTA KINABALU : Ekonomi negeri Sabah semakin memulih dengan mencatatkan pertumbuhan menggalakkan iaitu pada kadar 3.7 peratus pada tahun 2022 berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya.
Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata jumlah KDNK Sabah juga menunjukkan sedikit peningkatan iaitu RM79 bilion pada tahun 2021 kepada RM81.9 bilion pada tahun 2022, manakala KDNK per kapita Sabah pula meningkat kepada RM35,766 pada tahun 2022 berbanding RM30,022 pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan positif ini antaranya didorong oleh pemulihan semula sektor-sektor ekonomi utama di negeri Sabah.
Katanya dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023, negeri Sabah telah mencatatkan imbangan perdagangan sebanyak RM13 bilion berbanding RM24 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu penguncupan sebanyak 45.8 peratus.
“Ini didorong oleh penyusutan jumlah nilai eksport bagi komoditi utama negeri khususnya petroleum mentah (CO) dan minyak sawit mentah (CPO). Penyusutan nilai eksport CO adalah berpunca daripada penurunan kuantiti eksport sebanyak 7.8 peratus dan penurunan harga pasaran.
“Harga purata CO dalam tempoh tersebut telah menurun sebanyak 24.5 peratus iaitu USD 80.59 setong berbanding USD 106.74 setong pada tahun 2022. Ini menyebabkan nilai eksport CO Sabah telah menurun sebanyak 21.1 peratus.
“Kejatuhan nilai eksport CPO pula adalah disebabkan oleh penurunan harga pasaran. Harga purata CPO ialah RM3,873.63 per tan metrik berbanding RM5,628.13 per tan metrik dalam tempoh yang sama tahun 2022 iaitu penurunan sebanyak 31.18 peratus. Penurunan harga CPO ini telah menyumbang kepada penyusutan nilai eksport sebanyak 27.9 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Masidi berkata jumlah import direkodkan meningkat kepada RM27.3 bilion daripada RM26.4 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus.
Katanya Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan nilai import barangan utama negeri seperti jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan serta bahan api galian, pelincir dan sebagainya.
“Sungguhpun demikian, saya optimis bahawa negeri Sabah berupayamengekalkan momentum pertumbuhan positif pada tahun ini yang mana akan terus disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh, peningkatan pelaburan awam dan swasta serta pemulihan berterusan sektor-sektor ekonomi utama.
“Selain itu, pertumbuhan ini turut didorong oleh pengukuhan pasaran buruh yang dapat dilihat melalui trend penurunan kadar pengangguran iaitu 7.5 peratus pada suku kedua tahun 2023 berbanding kadar 8.6 peratus pada tempoh yang sama tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi untuk mempergiat dan mempercepatkan pemulihan ekonomi.
“Saya yakin secara keseluruhannya pertumbuhan ekonomi negeri bagi tahun 2024 akan kekal positif pada kadar sekitar empat peratus,” katanya.
Masidi berkata setakat bulan September 2023, inflasi negeri Sabah direkodkan pada kadar 1.8 peratus iaitu sedikit lebih rendah berbanding kadar inflasi nasional iaitu 1.9 peratus.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengawal kenaikan harga barang dan menstabilkan kadar inflasi di negeri ini agar dapat mengurangkan lagi bebanan dan tekanan kos sara hidup rakyat.