KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjelaskan kejadian yang ditularkan di media sosial merupakan Projek Peningkatan Fizikal Kawasan Menara Jam Atkinson dan Australian Place.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Junainah Abbie berkata, projek tersebut merupakan salah satu pakej Cadangan Menaiktaraf Kawasan Pusat Persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu, di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
Katanya, Projek Peningkatan Fizikal Kawasan Menara Jam Atkinson dan Australian Place diluluskan pada tahun 2009 kemudian diteliti semula pada tahun 2020 dan diluluskan untuk pembinaan pada tahun 2021.
“Projek ini dibiayai melalui peruntukan di bawah Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) di mana DBKK merupakan agensi perlaksana projek.
“Projek ini merangkumi tiga komponen iaitu pertama Menaiktaraf kawasan persekitaran Menara Jam Atkinson termasuk kerja-kerja lanskap, pembaikan dan pembinaan tembok penahanan cerun serta penyediaan kemudahan asas seperti tandas awam. Tidak ada kerja-kerja penambahan dan penubahsuaian dilakukan keatas struktur Menara Jam Atkinson sedia ada.
“Kedua, Pembinaan laluan pejalan kaki “boardwalk” dan “treetop walkway” yang menghubungkan Kawasan Menara Jam Atkinson dan Menara Pemerhatian di Signal Hill. Manakala ketiga adalah Kerja-kerja pembaikkan Menara Pemerhatian di Signal Hill,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Junainah berkata objektif utama projek ini adalah menaiktaraf kawasan persekitaran Menara Jam Atkinson dengan menyediakan kemudahan kepada pengunjung seperti ruang awam yang selamat dan selesa serta boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Serta membina tembok penahan yang kekal dan sistem perparitan yang teratur, selain daripada itu, pencahayaan dikawasan tersebut juga akan ditingkatkan” katanya.
Kenyataan ini menolak dakwaan isu yang ditularkan di laman sosial kononnya tiada sebarang papan tanda berkaitan projek ini dan hanya kelihatan beberapa kontraktor sedang menjalankan kerja- kerja pemotongan bukit besar-besaran di kawasan berkenaan.
Pengadu dikenali sebagai Joe Samad menyifatkan kegiatan pemotongan bukit ini akan merosakan ekosistem alam sekitar sekali gus akan menyebabkan kejadian tanah runtuh sekitar kawasan Balai Polis berhampiran.
“Projek ini dijangka akan siap dalam tempoh 18 bulan dimana kerja-kerja di tapak telah dimulakan semula sejak 1 September 2023.
“Pada ketika ini, kerja-kerja di tapak adalah melibatkan kerja pembersihan yang minima dan penyediaan platform untuk membolehkan Pembinaan laluan Boardwalk yang baharu dikawasan belakang Balai Polis,” jelas Junainah.
Menurutnya lagi, semua kerja di tapak adalah berdasarkan Pelan Pembangunan yang diluluskan dan dikawalselia oleh pasukan juruperunding yang dilantik.
“Kerja-kerja pembaikan Menara Pemerhatian di Signal Hill telah hampir siap dan dijangka akan diserahkan secara berfasa kepada DBKK,” jelas Junainah.