UMS bersama memacu pembangunan negeri, masyarakat dan hala tuju Sabah Maju Jaya

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditubuhkan hampir 30 tahun lalu sentiasa menjadi harapan rakyat di negeri Sabah, khususnya pentadbiran kerajaan negeri dalam bersama-sama memacu pembangunan negeri dan masyarakatnya.

Justeru, pelbagai perancangan universiti telah direncanakan menerusi pendekatan slogan “Peneraju Masyarakat Berinovasi” atau Leading Towards Innovative Societies sebagai komitmen UMS untuk bersama-sama menjayakan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, slogan tersebut diperkenalkan untuk mendekatkan warga universiti kepada masyarakat melalui pewujudan makmal hidupan dan program-program yang memanfaatkan masyarakat Sabah.

“Ini juga sedikit sebanyak membantu kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf sosioekonomi pembangunan Negeri Sabah agar bersama-sama dapat digembleng dan dicerakinkan bagi menghasilkan generasi akan datang yang mampu berdaya saing serta fleksibel.

“Untuk itu, UMS telah menggariskan beberapa pendekatan sebagai usaha menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah Maju Jaya, antaranya menerusi aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, akuakultur, bioteknologi, dan tenaga boleh diperbaharui.

“Aktiviti penyelidikan ini membawa kepada pembangunan teknologi dan inovasi baharu yang boleh dikomersialkan, membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di Sabah,” katanya dalam satu program wawancara di salah satu stesen televisyen nasional, baru-baru ini.

Katanya, UMS juga menekankan pembangunan modal insan melalui penyediaan pendidikan dan latihan kepada sebilangan besar pelajar dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, perniagaan, dan hospitaliti.

“Graduan ini pada akhirnya akan menyumbang kepada tenaga kerja mahir di Sabah, sekali gus mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan luar ke negeri ini.

“Selain itu, UMS juga giat mengadakan kerjasama dengan industri dan perniagaan di Sabah untuk menyediakan sokongan kepakaran, teknologi dan penyelidikan bagi membantu dalam pembangunan produk, perkhidmatan dan proses baharu.

“UMS turut menggalakkan keusahawanan dan menyediakan sokongan untuk pemula dan perniagaan kecil melalui program keusahawanan dan pusat inkubasi, dan ini mampu memupuk ekosistem keusahawanan yang bertenaga di Sabah sekali gus membawa kepada kepelbagaian dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Tambah Kasim, UMS juga terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti pembangunan komuniti seperti pemindahan pengetahuan, pembangunan kapasiti, dan program tanggungjawab sosial bagi membantu meningkatkan kualiti hidup dan peluang ekonomi bagi masyarakat tempatan di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Kasim memaklumkan UMS sehingga kini telah melahirkan lebih 80,000 graduan sepanjang kewujudannya.

“UMS yang kian dewasa ini turut dapat beradaptasi baik dengan peredaran zaman yang dipengaruhi teknologi digital yang kian rencam.

“Ini terbukti melalui catatan kadar kebolehpasaran graduan yang terus menunjukkan peningkatan positif dari tahun ke tahun.

“Malah, peluang pekerjaan yang bakal tersedia serentak dengan usaha kerajaan negeri khasnya dan kerajaan pusat umumnya mampu diisi oleh sumber manusia keluaran universiti ini,” katanya.

Beliau berkata, UMS akan terus memainkan peranannya sebagai sumber rujukan kepada pelbagai agensi mahupun masyarakat, agar universiti terus memberi impak yang signifikan dan positif kepada komuniti dan ekonomi tempatan.

Katanya, ini dilakukan dengan mewujudkan peluang pekerjaan, memacu inovasi, memupuk kerjasama dengan perniagaan tempatan, dan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan penglibatan komuniti.

PENERANGAN GAMBAR:

Gambar 1: Kasim menerajui pentadbiran UMS yang komited untuk bersama-sama menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya

Gambar 2: UMS giat mengadakan kerjasama dengan industri dan perniagaan di Sabah untuk menyediakan sokongan kepakaran, teknologi dan penyelidikan.

Gambar 3: UMS sehingga kini telah melahirkan lebih 80,000 graduan sepanjang kewujudannya