Bekas Exco Negeri P.Pinang keluar DAP, dijangka sertai WARISAN

GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang hari ini menerima surat keluar parti daripada bekas exco negeri, Datuk Danny Law Heng Kiang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying berkata parti itu menghormati keputusan Law dan mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau selama bersama DAP.

Sementara itu Law ketika dihubungi Bernama bagi menjelaskan tindakannya itu hanya berkata: “Sudah cukup 35 tahun bersama DAP, dan kini sedang mencari hala tuju baharu”.

Mengenai spekulasi kemungkinan beliau menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang perpangkalan di Sabah, Law berkata: “times will tell”.

Pada Pilihan raya umum 2008, Law menang dalam pertandingan di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Lancang, Pulau Pinang dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri.

Law, 61, telah mula aktif dalam politik selepas menyertai DAP pada tahun 1986.

— BERNAMA