Beaufort dan Beluran daerah terbaru dilanda banjir

KOTA KINABALU: Dua daerah baharu iaitu Beluran dan Beaufort mencatat pemindahan mangsa bermula petang semalam hingga pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, seramai 47 mangsa dipindahkan di Beluran, manakala 118 mangsa di Beaufort setakat jam 8 pagi ini.

Sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Beluran, manakala satu PPS di daerah Beaufort, masing-masing menempatkan sembilan dan 33 keluarga.

Secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di lima daerah di Sabah setakat pagi ini meningkat kepada 758 orang daripada 220 keluarga berbanding 690 mangsa malam tadi.

Semua mangsa dipindahkan ke 15 PPS dengan lapan daripadanya di daerah Telupid yang kekal mencatat paling ramai mangsa banjir dipindahkan iaitu 453 orang setakat pagi ini.

Sementara itu, daerah kecil Paitan mencatat 123 mangsa dipindahkan setakat jam 8 pagi ini, manakala mangsa banjir yang dipindahkan di Lahad Datu kekal seramai 45 mangsa.