Bantuan Kewangan Persekutuan Bantu Usaha Tangani Krisis Air Di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah yakin bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan akan membantu mempercepat pelan jangka pendeknya dalam menangani krisis air di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata bantuan kewangan sebanyak RM320.25 juta itu merangkumi pelaksanaan enam program yang terdiri daripada 20 projek di seluruh negeri termasuk sembilan bagi daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

 “Projek terbabit dijangka memakan masa antara enam hingga 12 bulan untuk disiapkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hajiji mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya dan memberi taklimat mengenai pelan Sabah bagi menangani masalah bekalan air di negeri itu.

Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmy Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri itu Datuk Seri Safar Untong.

Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali selain ketua-ketua jabatan dan agensi berkaitan.

Hajiji turut memaklumkan beliau berkongsi pelan jangka panjang Kerajaan Negeri Sabah berkaitan bekalan air berimpak tinggi termasuk projek dua empangan di Papar dan Ulu Padas, Sipitang.

Katanya Perdana Menteri mahu pasukan khas yang terdiri daripada menteri di peringkat negeri dan persekutuan ditubuhkan segera bagi mencari pendekatan holistik dan kaedah terbaik dalam merealisasikannya.