KUALA PENYU : Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat, menggesa rakyat, khususnya generasi muda, untuk bersama-sama memacu perubahan dan membina masa depan lebih baik bagi kawasan itu.
Dalam pesanan beliau sebelum keluar mengundi, Awang Aslee menekankan bahawa rakyat tidak lagi boleh menunggu janji kosong, dan tiba masanya memilih pemimpin yang mampu membawa Kuala Penyu bangkit dengan kekuatannya sendiri.
“Sebagai anak jati Kuala Penyu, saya ingin melihat kawasan ini maju dan dibanggakan. Setiap pintu yang saya ketuk, setiap senyuman yang saya lihat, setiap keluhan yang saya dengar mengingatkan saya bahawa perjuangan ini bukan soal kedudukan, tetapi untuk masa depan lebih baik,” katanya.
Beliau menegaskan kehadirannya bukan sekadar memimpin dari jauh, tetapi mahu hidup bersama rakyat dan merasai sendiri keperluan serta aspirasi mereka.
Awang Aslee turut merayu pengundi memberi mandat kepada calon BN melalui kertas undi agar perubahan yang diidamkan rakyat dapat direalisasikan, bukan sahaja untuk hari ini, tetapi untuk generasi akan datang.
Beliau menutup pesanan dengan ucapan terima kasih kepada rakyat atas sokongan, doa, dan harapan yang diberikan sepanjang tempoh kempen.
