Anwar puji kerjasama Hajiji, ingatkan Sabah jauhi politik berpecah

TUARAN: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, sambil mengingatkan bahawa politik berpecah dan pertelagahan hanya akan menjejaskan masa depan pembangunan negeri itu.

Berucap di Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran hari ini, Anwar menegaskan bahawa kestabilan kedua-dua kerajaan amat penting bagi melancarkan segala urusan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pelaksanaan pemulangan 40 peratus hasil Sabah.

“Kita perlukan kerajaan Persekutuan yang kuat, kerajaan negeri yang kuat, dan kerajaan Sabah yang boleh bekerjasama dengan baik demi rakyat,” katanya.

“Di Parlimen saya sudah umumkan, kerajaan Persekutuan akan tunaikan 40 peratus itu serta-merta. Mahu marah apa lagi?”

Hajiji yang juga pengerusi GRS turut hadir bersama Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

‘Tolak politik permusuhan’

Anwar turut menegaskan beliau tidak bersetuju dengan gaya politik yang berasaskan permusuhan dan kebencian, kerana yang akhirnya menanggung akibat ialah rakyat yang berdepan kemiskinan, sementara pemimpin terus hidup mewah.

Proses 40 peratus hasil sedang berjalan

Menurutnya, kerajaan Sabah telah mengambil langkah proaktif membawa tuntutan 40 peratus hasil negeri melalui saluran perundangan dan pentadbiran yang betul, dan perbincangan kini sedang berlangsung di peringkat kerajaan.

Air dan elektrik Sabah diberi tumpuan

Anwar turut mengumumkan beberapa projek empangan yang sedang dalam pembinaan dijangka siap tahun depan, sebagai sebahagian usaha menyelesaikan masalah air dan elektrik di Sabah.

Beliau menambah, kerajaan Persekutuan telah mengembalikan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah serta menyalurkan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu.