KOTA KINABALU – Parti WARISAN menolak keras kenyataan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution, yang memberi bayangan Sabah akan “dirugikan” sekiranya pendirian Ketua Menteri tidak selari dengan Perdana Menteri.
Ahli Majlis Tertinggi WARISAN, Mudi Dubing, berkata ugutan halus itu merendahkan martabat rakyat Sabah dan bercanggah dengan semangat Persekutuan.
“Kerjasama negeri–pusat mesti berasaskan hak, bukan kesetiaan politik,” katanya.
WARISAN menegaskan hak Sabah — termasuk 40 peratus hasil negeri, pembangunan asas, keselamatan, pendidikan dan peruntukan perlembagaan — bukan hadiah politik. Pembangunan hanya akan berlaku jika negeri dipimpin oleh kepimpinan tegas, konsisten dan berani bersuara, bukan tunduk demi kesenangan Putrajaya.
Parti itu juga menekankan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti gaji polis, tentera, doktor, jururawat, pembinaan hospital dan pengurusan bencana adalah kewajipan perlembagaan, bukan imbuhan politik.
“Rakyat Sabah tidak sepatutnya dijadikan mangsa naratif bahawa hanya calon rapat Putrajaya boleh menjamin kesejahteraan negeri.
“Sejarah membuktikan hubungan individu tidak semestinya memberi manfaat,” tambah Mudi Dubing.
WARISAN menegaskan Sabah mampu bekerjasama dengan Persekutuan tanpa mengorbankan hak dan maruah negeri, dengan kerjasama berasaskan kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.
