Balai Bomba Daerah Menumbok perlu diwujudkan segera – Awang Aslee

MENUMBOK : Sebuah Balai Bomba Daerah Menumbok perlu diwujudkan segera bagi menangani isu kebakaran serta aktiviti menyelamat di sekitar kawasan itu di masa depan.

Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, ketika balai bomba hanya beroperasi di kawasan Kuala Penyu sekali gus dilihat tidak berupaya mengatasi masalah kebakaran di kawasan Menumbok.

Awang Aslee melawat rumah yang terlibat dalam kebakaran baru-baru ini.

Katanya, faktor jarak antara Balai Bomba Kuala Penyu dan Menumbok sangat jauh menyebabkan kebakaran serta aktiviti menyelamat tidak mencapai matlamatnya.

“Sebagai contoh, tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Menumbok, baru-baru ini boleh diselamatkan di peringkat awal berikutan jarak yang berhampiran sekiranya balai bomba Menumbok dapat dibina di kawasan ini.

“Dalam kejadian itu pihak bomba menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada jam 11.05 pagi dilihat agak memakan masa sampai di tempat kejadian memandangkan faktor lokasi balai terletak di kawasan daerah Kuala Penyu,” katanya di sini hari ini.

Antara rumah yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Awang Aslee berkata, dalam kejadian itu kita mendapati pihak bomba mengambil masa lama sampai ke tempat kejadian sehingga memakan masa operasi ditamatkan pada jam 5.41 petang.

“Ini merupakan antara faktor serta alasan utama mengapa Balai Bomba Daerah Menumbok perlu dibina segera di kawasan ini dalam tempoh terdekat.

“Kita semua maklum aktiviti perkhidmatan bomba bukan hanya terhad kepada kebakaran malah mungkin juga boleh diperluaskan khususnya melibatkan kerja-kerja menyelamat yang lain,” jelas Awang Aslee.

Sementara itu, Awang Aslee meluangkan masa melawat mangsa kebakaran Melawat mangsa kebakaran tiga keluarga d tempat penempatan sementara di Dewan Baru di Kampung Darat Menumbok.

“Kita berharap agar keluarga dan mangsa terlibat agar mereka tabah menghadapi bencana dugaan dari Allah Swt ini,” tambah Awang Aslee.