61 pelajar Tongod terima Bantuan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat

TONGOD: Seramai 61 pelajar dari daerah ini yang melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerima Bantuan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat.

Bantuan dengan kerjasama Persatuan Peniaga Wanita Sabah (SWEA) itu disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Benedict Lasimbang menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat di Kampung Entilibon, dekat sini, kelmarin.

61 pelajar Tongod terima Bantuan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat.

Philip ketika berucap berkata, selain Bantuan Awal Pengajian, pelbagai inisiatif berteraskan pendidikan yang dilaksanakan yayasan itu menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antaranya Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU), Bantuan Persekolahan, Seminar Didik Rakyat dan Tuisyen Rakyat.

Katanya, setiap inisiatif itu bertujuan meningkatkan taraf kehidupan rakyat terutama yang kurang berkemampuan melalui ilmu dan pengetahuan.

“Sepanjang penubuhan Yayasan Bank Rakyat juga, pelbagai anugerah dan pencapaian berjaya diraih yang membuktikan komitmen dan semangat tinggi warga yayasan memperjuangkan taraf peningkatan pendidikan negara.

“Ini seterusnya melahirkan masyarakat yang bijak, kreatif dan profesional dalam apa juga yang dilaksanakan,” katanya.

Yang turut hadir ialah Pengerusi SWEA Mohina Sidom.

Philip berkata, anugerah yang diraih tahun ini termasuklah Yayasan Terbaik 2023 bagi kategori perbankan oleh CSR Award Malaysia.

Beliau berharap bantuan insentif kewangan bukan saja membantu pelajar meneruskan sesi pengajian, malah menyemarakkan semangat dan motivasi mereka untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Mohina berkata, sebagai persatuan yang turut menumpukan kerja kebajikan selain keusahawanan, SWEA komited untuk membantu lebih ramai pelajar daripada daerah itu untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Kita sedar Tongod adalah daerah termiskin di negara ini dan cara paling berkesan untuk mengurangkan kadar kemiskinan adalah menerusi pendidikan,” katanya.

Mohina berkata, pihaknya akan terus membantu rakyat di daerah itu terutama daripada segi keperluan pelajar kategori B40.

Katanya, Yayasan Bank Rakyat juga sudah membantu menyediakan peralatan perabot untuk kegunaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinangah selain membantu menaja program lawatan murid dari Tabika Kemas Kampung Linayukan ke Kota Kinabalu.