KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman menyalurkan bantuan bekalan air bersih ke Taman Bukit Setia Sepanggar selepas mendengar aduan serta permasalahan dari penghuni di taman berkenaan.
Menurutnya, masalah air ini adalah dibawah tanggungjawab Kerajaan Negeri manakala semua urusan bekalan air serta infrastruktur menjadi tanggungjawab serta kuasa kerajaan yang memerintah.
“Saya ambil maklum akan masalah air di Parlimen Sepanggar yang semakin kritikal sejak beberapa hari ini.
“Suka saya ulang jawapan menteri semasa membawa isu ini berkali-kali di Dewan Rakyat bahawa kuasa mengurus air adalah dibawah tanggungjawab Kerajaan Negeri,” katanya dalam laman Facebook rasminya di sini semalam.
Mohd Azis berkata, Beliau sudah bertahun mengambil inisiatif menghantar serta membeli sendiri bekalan air dihantar melalui lori water tanker ke kawasan yang terjejas ini.
“Saya cuma mampu bantu mana yang saya mampu sebagai wakil rakyat bukan kerajaan,” katanya.