Anwar Luangkan Masa di Pasar Gaya, Sokong Peniaga Kecil Sabah

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dengan pengunjung Tamu Jalan Gaya, yang terkenal dengan suasana meriah dan hasil tempatan yang pelbagai.

Tiba sekitar jam 8.35 pagi bersama Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, dan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, Anwar sempat bertemu peniaga kecil, mencuba makanan tempatan, serta bergambar dengan pengunjung.

Beliau menekankan pentingnya menyokong peniaga kecil untuk merancakkan ekonomi rakyat, sambil memuji suasana pasar yang menjadi nadi masyarakat setempat.

“Pasar minggu bukan sekadar tempat jual beli, tetapi pusat komuniti berkongsi cerita, budaya, dan semangat kejiranan. Kita akan terus memberi dukungan supaya ekonomi rakyat terus menyemarak,” katanya.