Selesai tuntutan MA63 menerusi perbincangan, bukan `berperang` – PM Anwar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyelesaian tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan melalui perbincangan dan rundingan yang rasional, bukannya melalui konfrontasi, ‘berperang’ atau perselisihan.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI komited menyelesaikan tuntutan itu secara menyeluruh, antaranya melalui perbincangan dan rundingan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Sekarang pun kita sedang berbincang. Datuk Seri Fadillah mengetuai jawatankuasa teknikal, kita adakan mesyuarat untuk bincang bersama.

“Jika setuju, kita laksanakan; jika tidak, bincang semula dan undi lagi. Inilah cara kita bekerjasama, bukan untuk ‘berperang’,” katanya ketika berucap pada Program Rancakkan MADANI di sini hari ini.

Menyentuh mengenai tuntutan pemulangan hasil 40 peratus untuk Sabah, Perdana Menteri menyeru semua pihak supaya mendalami dan memahami perkara itu terlebih dahulu.

“Saya tadi (melawat) Jalan Gaya, dengar jeritan mengenai hasil 40 peratus Sabah. Dengarlah dulu, fahami dulu.

Memang terkandung dalam MA63, tetapi tiga tahun lalu (sejak Kerajaan MADANI mentadbir), kita sudah membincangkannya,” katanya.

Pada 23 Oktober lalu, Fadillah menyatakan 13 daripada 29 tuntutan MA63 telah dikategorikan sebagai selesai.

Menjelas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM17 bilion setahun bagi Sabah, termasuk peruntukan bagi pendidikan, kesihatan dan keselamatan serta pembangunan infrastruktur seperti sekolah dan klinik kesihatan.

Beliau berkata, jumlah peruntukan itu jauh melebihi hasil negeri berjumlah sekitar RM10 billion setahun.

“Kita ambil hasil RM10 bilion, kita beri kembali RM17 bilion. Sebab apa? Kerana ini hasil kerjasama antara Persekutuan dan negeri.

“Kita gunakan hasil untuk membangunkan semua negeri di Malaysia. Sabah sedikit ketinggalan, jadi kita bantu lebih.

“Kelantan, Perlis, walaupun ditadbir pembangkang, kita tetap bantu.

“Selesaikan masalah banjir setiap tahun pun kita belanjakan berbilion ringgit. Sebab tugas kita menjaga Malaysia, anak Sabah, Kelantan, Perlis, semuanya anak Malaysia. Kita mahu semua hidup dengan baik dan bahagia,” katanya.

Anwar menegaskan dalam membangunkan negara, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berwibawa dan mampu menyatukan rakyat pelbagai etnik bagi terus memperkukuh perpaduan nasional.

Katanya, kehebatan sebenar seorang pemimpin tidak bergantung kepada kekuatan untuk bertempur, sebaliknya terletak pada kesanggupan bekerjasama dan mengikat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang datang daripada pelbagai latar belakang.

“Kalau hebat seorang pemimpin Murut, Kadazan atau Dayak, ataupun Bugis atau Suluk, kehebatannya terserlah melalui kesanggupannya untuk bekerjasama dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus bekerja keras bagi kepentingan rakyat, walaupun beliau bukan lagi muda seperti dahulu.