KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi esok (Khamis) untuk menyelesaikan masalah air di Sabah.
“Saya buat keputusan, esok pagi, insya-Allah saya buat mesyuarat tertinggi peringkat persekutuan dan negeri untuk selesaikan masalah air bersama kerajaan negeri.
“Kerajaan perpaduan tekad dalam menyelesaikan masalah prasarana, terutamanya di Sabah, dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Penampang hari ini.
Anwar berkata, tindakan juga sedang diambil untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo dan kerja-kerja membaik pulih serta penyelenggaraan jalan di Sabah dilaksanakan dengan kadar segera.
Bagi melicinkan perlaksanaan tersebut, katanya, sebahagian kerja-kerja tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri mengikut peraturan dan dasar kewangan negara.
“Baru-baru ini juga peruntukan untuk membaiki jalan ini ditingkatkan, peruntukan tertinggi perbaiki jalan yang diberi adalah untuk Sabah. Kita telah minta tindakan segera,” katanya.
Pada 16 Mei lepas, Timbalan Ketua Menteri III Shahelmey Yahya, yang juga menteri kerja raya negeri dilaporkan berkata, 15 pakej kerja dalam Fasa 1, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, yang pada tahap 79.06% pembinaan, dijadual siap sepenuhnya pada hujung tahun depan.