Ambil alih tapak penempatan sementara dijadikan pembangunan komersial – Masiung

KOTA KINABALU: Kabinet negeri perlu mengemukakan usul kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengambil alih lima lokaliti Skim Penempatan Sementara Pelarian untuk dijadikan tapak pembangunan komersial di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, kerajaan boleh mencadangkan atas dasar kemanusiaan agar dapat menyediakan sebuah pulau bagi memindahkan penempatan tersebut.

Katanya, cadangan ini pernah dilakukan Kerajaan Terengganu bagi menempatkan pendatang Vietnam di Pulau Bidong pada era 70-an.

“Kawasan penempatan ini  terletak di kawasan pinggir bandar dan kebanyakkannya penghuni yang mendiaminya adalah kalangan pendatang Filipina.

“Lima lima skim itu melibatkan kawasan perindustrian termasuk di Kinarut, Telipok, Kampung Bahagia Sandakan, Kampung Hidayat Tawau serta Kampung Selamat Semporna,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Masiung berkata, masalah penempatan ini sudah berlarutan lebih 50 tahun, namun sehingga kini masih tidak ada penyelesaian secara drastik.

“Selain dijadikan isu politik tanpa sebarang pelaksanaan tuntas sudah tiba masanya tapak berstatus tanah perdana (prime land) dibangunkan untuk penduduk Sabah,” katanya.

Masiung berkata, sudah lebih tiga dekad pendatang Filipina mendapat keistimewaan secara percuma tinggal di bumi Sabah.

“Sedangkan rakyat tempatan golongan B40 terus bergelut dengan hutang membeli rumah dan mendapatkan rumah sewa di bandar. 

“Sabah merekodkan lebih 50,000 senarai menunggu warga B40 mendapatkan rumah sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar,” katanya.

Menurutnya, kewujudan skim penempatan itu tidak banyak membawa keuntungan, sebaliknya hanya mendatangkan kerugian akibat penyambungan elektrik serta air secara haram di penempatan pelarian itu. 

“Sebahagian besar warga asing di Sabah telah menyumbang masalah jenayah yang sukar dikawal termasuk kes penyeludupan, kegiatan dadah, perjudian dan jenayah rentas sampadan selain pemilikan MyKad secara rasuah,” katanya