Kerajaan pantau ahli politik Filipina isu tuntutan Sabah

KUALA LUMPUR: Percubaan terkini pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik Malaysia di Belanda disifatkan sebagai satu lagi tindakan mengambil kesempatan dan melanggar perundangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan tersebut bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

“Kerajaan melalui Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Waris Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia telah membincangkan perkara ini dan mempunyai langkah-langkah strategik yang akan dilaksanakan.

“Namun, perkara tersebut tidak dapat saya dedahkan di sini,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu – Beaufort) ketika sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Justeru katanya, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sentiasa berusaha dan akan mencabar segala proses perundangan yang perlu dihadapi.

Sementara itu mengulas mengenai peranan rakyat Sabah untuk memahami isu sebenar serta mengutuk tindakan penuntut, Wan Junaidi menegaskan, tanggungjawab untuk menjaga kepentingan negara adalah peranan bersama.

“Dalam erti kata lain, rakyat Sabah juga berperanan untuk menapis dan menghalang penyebaran berita tidak tepat mengenai isu tuntutan oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu serta memastikan fokus diberikan terhadap maklumat sah daripada sumber kerajaan.

“Kerajaan mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat umum untuk sentiasa mempertahankan kepentingan negara walaupun melalui media sosial,” tambahnya.