KOTA KINABALU: Aktivis sosial dan Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah (BOD) Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).
Beliau merupakan antara empat ahli BOD baharu yang menerima watikah pelantikan daripada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar yang juga Pengerusi LPBS di pejabat kementerian itu pada Isnin.
Zaki berkata, pelantikan itu memberi ruang kepadanya untuk membantu memperkasakan aspek penguatkuasaan dan kawal selia LPBS selaras dengan pengalaman beliau dalam bidang keselamatan serta pentadbiran.
“Saya amat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Ini adalah satu penghormatan besar dan peluang untuk menyumbang bakti,” katanya.
Menurutnya, beliau komited untuk memainkan peranan aktif dalam memperkukuh fungsi LPBS sebagai agensi penting dalam sektor padi dan beras negeri.
Zaki merupakan anak jati Tawau dan pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan polis serta memegang jawatan dalam bidang penguatkuasaan di sebuah badan berkanun peringkat persekutuan.
