KOTA KINABALU: Perkhidmatan e-Hailing, AirAsia Ride dikenalpasti berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, berkata perkhidmatan yang diperkenalkan syarikat penerbangan tambang murah itu turut membuka peluang pekerjaan untuk warga belia di negeri ini.
“Selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang berkembang pesat di ibu negeri, perkhidmatan ini juga mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga belia di Sabah.
“Kita berharap dengan perkhidmatan ini serta pembukaan semula beberapa laluan utama pelancongan domestik dan antarabangsa, dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan fasiliti untuk para pelancong yang datang sekali gus menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan di Sabah,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Airasia Super App, Amanda Woo menjelaskan perkhidmatan berkenaan bukan sahaja memanfaatkan para pelanggan melalui promosi hebat yang disediakan, tetapi juga menggalakkan para pemandu e-panggilan untuk melihat program inisiatif unik di Airasia Ride.
“Melalui inisiatif ini, para pemandu akan disediakan dengan kenderaan dan latihan yang diperlukan untuk memperoleh lesen PSV, peluang menjana pendapatan bulanan dari RM2,000 ke RM4,000 beserta insentif tambahan sehingga RM4,000 sebulan, insurans e-panggilan, EPF, SOCSO dan faedah perubatan.
“Pemandu Airasia Ride yang memenuhi kriteria juga berpeluang menikmati ganjaran potongan 90 peratus bagi tempahan penerbangan AirAsia,” katanya.