GEORGE TOWN: Perbincangan antara lima pemimpin tertinggi UMNO bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata tempoh untuk mengadakan PRU15 dalam tahun ini masih terbuka dan tarikh itu akan ditentukan selepas mesyuarat lima pemimpin tertinggi UMNO.
“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setiap keputusan mengenai PRU akan dibuat selepas perbincangan lima pemimpin tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada perbincangan itu akan diadakan sebelum atau selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt ini di Dewan Rakyat, Ismail Sabri berkata perkara itu masih belum ditentukan.
“Perbincangan boleh dibuat secepat mungkin atau mungkin lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023,” kata beliau.
Lima pemimpin tertinggi UMNO itu merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden parti iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.
Sementara itu, semasa ditanya mengenai keadaan Datuk Seri Najib Tun Razak, Ismail Sabri berkata beliau telah memberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) supaya melihat keperluan bekas perdana menteri itu.
“Saya telah meminta KKM supaya bantu apa yang Najib perlukan… kalau boleh masuk ke Institut Jantung Negara (IJN) atau tidak, itu akan ditentukan KKM,” katanya.
Terdahulu di Mahkamah Kuala Lumpur, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu tidak akan dapat hadir ke mahkamah kerana masalah kesihatan dan akan dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke IJN hari ini.
– BERNAMA