Ahmad Zahid cadang bubar DUN Melaka

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Laporan Berita Harian memaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ia bagi memberi peluang kepada rakyat negeri itu memilih kerajaan baharu kelak.

“Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri dikuasai parti saya. Tapi tunggulah. Saya fikir elok diadakan PRN dan DUN Melaka dibubarkan.

“Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan yang terbaik mentadbir negeri dan negara kita, Insya-Allah,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan negeri Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri itu, berkuat-kuasa semalam.

Empat ADUN terbabit adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).