Agihan peruntukan jalan persekutuan Sabah dipersoal

KOTA KINABALU: Agihan peruntukan penyenggaraan jalan persekutuan kepada Sabah dipersoalkan apabila jumlah yang diterima dilihat tidak seimbang berbanding beberapa negeri lain.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Mazlan Joehari Manan berkata, Sabah hanya menerima peruntukan RM341.74 juta sedangkan Johor dan Perak masing-masing menerima RM424.08 juta dan RM336.38 juta.

Menurutnya, jumlah itu tidak mencerminkan keluasan negeri Sabah serta keadaan jalan persekutuan yang masih memerlukan penyelenggaraan berterusan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat berhubung peruntukan penyenggaraan jalan bagi tahun 2025.

“Sabah adalah negeri yang luas dan memiliki rangkaian jalan persekutuan yang panjang. Oleh itu, agihan peruntukan perlu lebih adil dan bersesuaian dengan keperluan sebenar,” katanya.

Terdahulu, Ahmad memaklumkan sebanyak RM2.96 bilion diperuntukkan oleh Kementerian Kerja Raya bagi penyenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, RM2.36 bilion disalurkan kepada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan menerima keseluruhan RM595.6 juta.