KOTA KINABALU : Agensi bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui visi ekonomi digital untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ekonomi digital dan Teknologi Telekomunikasi Sabah memberi tumpuan membawa masuk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terkini.
Katanya, pengetahuan syarikat mahupun agensi kerajaan diperlukan menyokong inisiatif termasum bandar pintar, hubungan pintar luar bandar, kampus pintar, pertanian pintar, pendidikan pintar dan bangunan pintar.
“Kita mengharapkan agar inisiatif ini mampu menarik minat pihak pelabur dalam industri Digital dan Teknikal agar turut serta menjadi sebahagian daripada usaha menyokong transformasi ekonomi dan Pendidikan digital di negeri Sabah,” katanya di sini semalam.
Arifin berkata, beliau gembira SET 2024 yang julung kali diadakan di sini telah membawa program-program pentingnya mempelajari teknologi digital masa kini.
“Saya turut gembira kerana SET 2024 sudi membawa program-program yang mengajar kita tentang kepentingannya untuk mempelajari dan mengambil tahu akan teknologi digital pada masa kini.
“Tahniah kepada pihak penganjur Sabah Education Technology atau SET 2024 yang diketuai Munirah Ruslan bersama pasukannya,” jelas Mohd Arifin.
Menurutnya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan KPM menerusi JPN dalam merealisasikan agenda kerajaan ke arah memperkasa, meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan di negeri ini.
“Kerjasama ini amat penting kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat keseluruhannya.
“Usaha itu termasuklah menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana pendidikan di negeri ini, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing,” kata Mohd Arifin.
Beliau berkata, semua pihak yang berkaitan termasuk warga Jabatan Pendidikan, pendidik dan ibu bapa perlu berganding bahu serta bekerjasama demi kejayaan masa depan.
Menurutnya, dalam tahun ini 2024, kerajaan telah menyediakan memperuntukkan sebanyak RM474.55 juta untuk pendidikan.
“Kerajaan negeri juga telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu portal.
“Ini adalah inisiatif baharu Ketua Menteri Sabah di bawah Hala Tuju SMJ dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan,” ujarnya.
Turut hadir Pengarah Program SET 2024, Munirah Ruslan dan Penasihat SET 2024, Datuk Surinam Sadikun.