ADUN GRS perlu lantang suarakan masalah rakyat di DUN Sabah – Bung Moktar

KUDAT: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu lantang menyuarakan masalah rakyat dalam setiap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rakyat sentiasa memerhati tingkah laku Wakil Rakyat mereka dalam mengemukakan setiap masalah dihadapi dalam persidangan DUN berkenaan.

“Kita semua maklum, rakyat ketika ini sangat matang berfikir serta pada menilai terhadap kerja yang dilakukan oleh setiap wakil rakyat sedia ada.

“Mereka (rakyat) bukan lagi senang dibuai dengan pengumuman peruntukan pelaksanaan projek seperti dahulu, namun sehingga tempoh tertentu projek tersebut tidak mampu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Retreat Backbenchers di Kudat sini malam tadi.

Bung Moktar berkata, sebagai contoh beliau kerap kali menyuarakan masalah dihadapi rakyat Sabah terutama dalam persidangan Parlimen yang dihadirinya.

“Kita semua ADUN bukan sahaja berbahas membawa isu di kawasan masing-masing, malah perlu membangkitkan perkara asas yang relevan dengan kepentingan rakyat di negeri ini.

“Kita perlu menjadi (ADUN) yang berilmu pengetahuan berasaskan fakta menangkis provokasi dan propaganda parti lawan semasa sidang DUN….Jika dibiarkan ia sudah tentu memberikan tanggapan negatif kepada kerajaan GRS,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Bung Moktar mahu semua wakil rakyat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat bekerja dalam satu pasukan.

“Perlu diingat….rakyat Sabah meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan seria ada pada hari ini.

“Kita perlu menghargai kepercayaan dengan melakukan kesungguhan bekerja untuk memajukan Sabah disamping melupakan segala perbezaan pendapat dalam kalangan sendiri,” katanya.