SANDAKAN: Negara asing diharap menilai semula nasihat perjalanan (travel advisory) ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) berdasarkan keadaan keselamatan terkini dan penilaian objektif, sekali gus meninggalkan persepsi lampau terhadap Pantai Timur Sabah.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), DCP Datuk Victor Sanjos berkata, tahap keselamatan semasa dapat dinilai sendiri oleh delegasi antarabangsa menerusi Program Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESS Zone 2026 yang membawa duta, pesuruhjaya tinggi dan wakil negara melawat perairan Pantai Timur Sabah serta beberapa lokasi utama.
Menurutnya, keamanan yang dinikmati di kawasan berkenaan adalah hasil komitmen berterusan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri khususnya ESSCOM bersama agensi keselamatan lain. Situasi itu membolehkan pergerakan di perairan berlangsung dengan selamat, pulau pelancongan terus menerima pengunjung dan komuniti pesisir menjalankan aktiviti harian dalam suasana aman.
Victor berkata, persekitaran stabil turut meningkatkan keyakinan masyarakat tempatan serta memberi jaminan kepada pelancong dan pelabur. Tahap keselamatan itu juga menyokong usaha pemuliharaan alam, termasuk Program Pemuliharaan Penyu di Pulau Selingan, selain pembangunan ekopelancongan, ekonomi biru, perusahaan komuniti dan inisiatif pembangunan mampan di bawah agenda Sabah Maju Jaya.
Katanya, Malaysia kekal komited menjalinkan kerjasama dengan negara rakan dalam memperkukuh keselamatan serantau, melindungi persekitaran maritim bersama dan menggalakkan pembangunan ekonomi mampan yang mampu memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Melalui pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini, para delegasi diharap dapat berkongsi pemerhatian mereka dengan kerajaan masing-masing serta menyokong penilaian semula nasihat perjalanan ke ESS Zone berdasarkan keadaan semasa, fakta terkini dan penilaian objektif, bukan lagi berasaskan persepsi lampau,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yakin semakan nasihat perjalanan itu mampu meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa, merancakkan sektor pelancongan, menggalakkan pelaburan mampan serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat. Menurutnya, keselamatan yang kukuh perlu diterjemahkan kepada keyakinan yang membolehkan pembangunan dan pemuliharaan terus dilaksanakan, manakala masyarakat Pantai Timur Sabah menikmati keamanan serta kemakmuran.
