PENAMPANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk James Ligunjang bersama beberapa tokoh politik dan profesional dari kawasan Parlimen Penampang secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) sebagai langkah memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Turut menyertai PGRS ialah Datuk Edmund Doudilim, Dr Tan Jun Kwang, Wilson Chang, Datuk Aloysius Mobijin, Frederick Francis Fung, Anwar Syed Shariff Abdullah, Gary Chang dan Albert Doudilim.
Borang keahlian mereka diserahkan kepada Pengerusi PGRS Bahagian Moyog, Datuk Mandela Malakun dalam satu majlis di ITCC Penampang yang turut disaksikan Pengerusi PGRS Bahagian Kepayan, Datuk Steven Jimbangan.
James berkata, beliau yakin PGRS mampu terus memperkukuhkan perjuangan GRS dalam membela kepentingan rakyat Sabah.
“Kami menyertai PGRS untuk membantu mengukuhkan kekuatan akar umbi parti dan memperkasakan GRS demi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus terbela,” katanya.
Beliau berkata, walaupun sebelum ini tidak menganggotai mana-mana parti komponen GRS, keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan negeri mendorong beliau menyertai PGRS.
Menurutnya, pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah membawa pelbagai pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat serta meletakkan Sabah di landasan pembangunan yang positif.
Beliau berpandangan penyertaan beberapa tokoh berpengalaman itu mampu memperkukuhkan lagi kedudukan PGRS di Parlimen Penampang serta memperluaskan pengaruh parti menjelang perkembangan politik negeri.
