FKAT 2027 bakal jadi acara rasmi Tahun Melawat Sabah

TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) bakal disenaraikan dalam kalendar pelancongan rasmi Sabah sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, langkah itu diambil berikutan sambutan memberangsangkan daripada masyarakat dan pelancong terhadap festival berkenaan.

Menurut beliau, FKAT mempunyai potensi besar untuk menjadi produk pelancongan budaya yang mampu memperkukuh kedudukan Tawau sebagai destinasi pelancongan negeri.

“Tahun hadapan kita akan memperbesarkan lagi festival ini supaya lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara hadir ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pameran rumah etnik yang menampilkan pelbagai budaya, makanan tradisional dan kraftangan membuktikan kekayaan warisan pelbagai kaum di Sabah.

Katanya, keunikan itu perlu terus dipromosikan sebagai aset pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.