KOTA KINABALU: Seramai 96 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Kota Kinabalu dan Tawau.
Operasi tersebut dilaksanakan menerusi beberapa siri tindakan termasuk Ops Bersepadu, Ops Kutip, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Mahir yang memfokuskan kepada pengesanan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara.
Di Kota Kinabalu, seramai 52 warga Filipina ditahan selepas pemeriksaan terhadap 214 individu dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan.
Sementara itu di Tawau, seramai 44 warga asing terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia ditahan selepas pemeriksaan ke atas 120 individu.
JIM Sabah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan Sabah bebas daripada aktiviti yang menyalahi peraturan negara.
