BUTTERWORTH: Kerajaan akan meneruskan Dana Inovasi Media bagi memastikan industri media tempatan terus berupaya melaksanakan transformasi digital dan inovasi selaras perkembangan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana berkenaan yang diperkenalkan tahun lalu telah memberi manfaat kepada 72 syarikat media dengan jumlah pembiayaan RM24.57 juta.
Menurut beliau, kerajaan akan menambah peruntukan sekiranya perlu bagi memastikan dana tersebut tidak berdepan kekurangan.
“Seboleh mungkin dana itu digunakan. Kemudian kita tambah supaya tabung itu tidak akan diganggu atau kekurangan,” katanya.
Dana Inovasi Media diwujudkan bagi menyokong pembangunan kandungan, teknologi media, strategi digital serta latihan kepada pengamal media tempatan.
