BELURAN: Lebih 500 penduduk dari enam kampung di kawasan Sugut merayu syarikat konsesi Timberwell mengambil tindakan segera melaksanakan kerja penyelenggaraan terhadap Jambatan Besi Kampung Abuan 2 serta jalan utama yang didakwa semakin uzur dan membahayakan keselamatan pengguna.
Wakil penduduk, Jamri Sabu berkata, jambatan berkenaan digunakan oleh penduduk Kampung Abuan Lama, Abuan 2, Tagapalang, Nakadong, Magkasulap serta Waigon 1 dan Waigon 2 sebagai laluan utama untuk menjalankan urusan harian.
Menurutnya, kemudahan tersebut bukan sahaja menjadi penghubung antara kampung dan kawasan luar, malah digunakan pelajar sekolah, kakitangan kesihatan, petani dan peniaga kecil setiap hari.
Beliau berkata, keadaan jambatan yang semakin uzur menimbulkan kebimbangan kerana beberapa bahagian strukturnya didakwa mula rosak akibat faktor usia dan kekurangan penyelenggaraan.
“Penduduk terpaksa menggunakan jambatan ini setiap hari. Kami bimbang sekiranya berlaku kerosakan yang lebih serius, ia boleh mengundang kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna,” katanya.
Jamri berkata, jalan balak yang menghubungkan kampung ke jalan utama turut mengalami kerosakan dan menjadi semakin sukar dilalui terutama ketika musim hujan.
Katanya, kemudahan itu pada asalnya dibina bagi menyokong operasi pembalakan di kawasan berkenaan, namun kini memerlukan penyelenggaraan berterusan demi kepentingan masyarakat setempat.
