500 penduduk Tongod dakwa sungai tercemar akibat aktiviti pembalakan

TONGOD: Lebih 500 penduduk Kampung Inarad mendakwa berdepan masalah bekalan air bersih apabila beberapa sungai yang menjadi sumber utama kehidupan mereka didakwa tercemar akibat aktiviti pembalakan.

Penduduk berkata, Sungai Ulu Inarad, Sungai Bobool, Kapampalang dan Katalidus digunakan setiap hari untuk mendapatkan air, menangkap ikan serta kegunaan domestik.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai James mendakwa keadaan sungai kini semakin keruh dan menjejaskan kehidupan masyarakat setempat yang bergantung kepada sumber berkenaan.

“Penduduk kampung sangat memerlukan air sungai yang bersih kerana digunakan untuk aktiviti menjala ikan bagi menampung keperluan seharian.

“Kami bimbang keadaan ini akan terus menjejaskan sumber pendapatan dan keperluan asas penduduk,” katanya kepada Sabah News Today (SNT).

Beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan sumber air penduduk terus terpelihara.